KERPASAN (HUJAN)

                                                                  

                                                                PENGENALAN
Kerpasan terjadi setelah proses pemeluwapan berlaku di dalam bungkusan udara mencapai tahap tepu dan kelembapan bandingan mencapai tahap 100 %. Menurut Strahler dan Strahler (2006), awan adalah sumber hujan iaitu proses penting yang menyediakan air tawar bagi kebanyakan bentuk hidupan daratan. Hujan boleh terbentuk dalam dua cara iaitu dalam awan panas dan dalam awan sejuk. Dalam awan panas, titisan air halus terpeluwap, berlanggar, dan bertaut menjadi titisan lebih besar yang boleh jatuh sebagai hujan. Dalam awan sejuk, kristal ais membentuk dan “gros” dalam awan yang mengandungi campuran kedua-dua kristal ais dan titisan air. Konsep kerpasan ialah proses pelepasan air daripada awan dalam bentuk air hujan, salji atau hujan batu yang terhasil melalui pemeluwapan sehingga bungkusan udara tersebut tepu dengan titisan-titisan air atau hablur ais. Hujan hanya berlaku setelah titisan air di dalam awan mula mengalami proses kondensasi (pemeluwapan) dan bergabung untuk membentuk titisan-titisan air yang lebih besar dan menjadi cukup berat untuk dikandung oleh awan. Ketika itu awan terpaksa melepaskannya sebagai hujan. Pembentukan satu titisan air hujan memerlukan gabungan berjuta-juta wap-wap air. Hujan diukur dalam unit kedalaman kejatuhan per unit masa. Sebagai contoh, sentimeter atau inci setiap jam atau setiap hari. Satu sentimeter (inci) hujan akan meliputi tanah untuk kedalaman 1 cm (1 in.) yang diukur menggunakan tolok hujan.

                                                           KEJADIAN HUJAN ASID
Hujan asid berpunca daripada peningkatan tahap keasidan ekoran pencemaran yang berlaku di atmosfera. Peningkatan kandungan asid dalam air hujan kebanyakan berlaku di kawasan industri terutama di timur laut USA (kawasan tasik-tasik besar) dan barat laut Eropah iaitu Jerman, Perancis, Belgium, Holland dan England. Air yang berasid mempunyai keupayaan untuk bertindak balas secara kimia dengan unsur/bahan dalam tanah dan batuan. Keasidan biasanya diukur dalam skala pH yang mewakili pecahan ion hidrogen (komponen asid). Skala 1, sangat berasid ( banyak ion hidrogen) dan skala 14 sangat beralkali. Air hujan yang biasa berada pada skala pH 5.5, iatu sedikit berasid disebabkan kandungan karbon dioksida terlarut (asid karbonik lemah). Hujan asid berada pada skala pH 5.5 dan 2.2. ( Mohamad Suhaily, 2008).
Hujan asid berpunca daripada gabungan sulfur dan nitrogen yang dilepaskan ke atmosfera oleh tindakan pembakaran arang batu dalam loji janakuasa dan petrol dalam kenderaan. Unit sulfur dan nitrogen bersama oksigen yang hadir melalui tindakan cahaya matahari, membentuk oksida dan semakin jauh bergerak daripada puncanya, tindakan kimia semakin tinggi untuk mengubah oksida sulfur dan nitrogen tadi kepada asid sulfurik dan asid nitrit. Asid-asid ini akan jatuh ke bumi dalam bentuk hujan atau salji beberapa ratus kilometer daripada punca/sumbernya melalui pergerakan angin.
Hujan asid juga terhasil akibat daripada pembakaran api fosil. Selain daripada mengeluarkan karbon dioksida, pembakaran api fosil juga mengeluarkan gas-gas beracun seperti sulfur dioksida dan nitrogen oksida. Apabila gas-gas bercampur dengan wap air dalam atmosfera, maka wujud asid-asid nitrit dan sulfurik. Hujan yang turun bersaa-sama dengan asid dikenali sebagai hujan asid. (Mohmadisa dan Mohamad Suhaily, 2010).
Hujan asid terbentuk disebabkan kualiti air hujan terjejas melalui tindak balas antara gas pencemar dengan wap-wap air dalam udara. Terdapat dua jenis hujan asid, iaitu hujan asid lembap dan hujan asid kering. Proses kondensasi yang dilakukan oleh gas-gas sulfur, nitrogen dan karbon akan menghasilkan hujan asid sulfurik, nitrit dan karbonik. Hujan asid boleh menjejaskan ekosistem akuatik, meluruhkan daun, membantutkan tumbesaran pokok dan menjejaskan kesihatan manusia.
Hujan asid menjadi menjadi punca kepada kematian ikan dalam tasik-tasik, keguguran daun-daun pokok, kerosakan kepada bahan-bahan bangunan dan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Kesan yang ketara telah berlaku di tasik-tasik sekitar Pergunungan Adirondack bahagian atas New York, sebahagian timur Kanada dan Scandinavia. Penipisan tanih di kawasan ini dengan bahan-bahan kimia berasid mempercepatkan pengaliran air hujan yang berasid itu ke tasik-tasik sekitarnya. Kesan yang terbesar ekoran hujan hujan asid adalah kemusnahan padang/tanaman.
Di samping faktor pembangunan industri yang dominan dalam menurunkan kualiti tanih dan tasik, tindakan manusia dalam sektor pertanian juga penting dalam meninggikan kejadian melalui penggunaan baja nitrat (membebaskan sulfur) yang berleluasa sejak 1993. Dianggarkan antara 1/3 dan 3/4 kejadian kejadian hujan asid di negara yang kurang bergantung kepada sektor perindustrian seperti Ireland dan Norway adalah berpunca daripada sulfur.



PENGARUH HUJAN TERHADAP ALAM SEKITAR MANUSIA DI KAWASAN TROPIKA                                                                           LEMBAP
Menurut Haji Rusly dan Hajah Nurashikin (2015), hujan berperanan dalam mempengaruhi alam sekitar manusia di kawasan tropika lembap. Terdapat pelbagai kebaikan dan keburukan hujan terhadap kegiatan manusia. Antara kegiatan manusia yang dipengaruhi oleh hujan ialah aktivti pertanian, aktiviti penternakan, aktiviti perikanan, aktiviti pengangkutan, aktiviti industri kecil dan sederhana (IKS) dan impak sosial.
Aktiviti pertanian, hujan membantu untuk mempercepatkan tumbesaran tanaman khususnya padi sawah yang memerlukan bekalan air yang banyak. Namun begitu, hujan lebat juga boleh mengakibatkan banjir yang memusnahkan dan merosakkan tanaman tembakau, padi sawah dan sayur-sayuran. Selain itu, hujan juga menyebabkan aktiviti menoreh getah dan mengutip hasil tanaman terganggu pada musim hujan.
Selain itu, aktiviti penternakan. Hujan lebat akan mempengaruhi aktiviti penternakan seperti ternakan ikan air tawar. Hal ini demikian kerana hujan lebat boleh mengakibatkan kolam ternakan dtenggelami air dan ikan terlepas keluar serta merugikan penternak. Selain itu, hujan lebat juga mengganggu aktiviti meragut bagi ternakan lembu dan kambing, di samping mempercepatkan rebakan penyakit kuku dan mulut.
Seterusnya, aktiviti perikanan khususnya perikanan pinggir pantai sering terjejas apabila berlaku hujan lebat. Hal ini demikian kerana hujan lebat kebiasaanya menyebabkan laut bergelora. Keadaan ini amat berbahaya kepada bot-bot kecil. Oleh sebab itu, aktiviti nelayan di Kelantan, Terengganu dan Pahang tergendala pada musim tengkujuh.
Di samping itu, aktiviti pengangkutan turut terganggu pada musim hujan kerana keadaan jalan menjadi licin. Hal ini meningkatkan risiko kemalangan khususnya sistem pengangkutan darat. Hujan lebat juga menyebabkan kejadian banjir yang menenggelamkan jalan dan jambatan. Keadaan ini yang seterusnya menyebabkan rangkaian pengangkutan darat terutamanya ke kawasan pedalaman terputus.
Industri kecil dan sederhana seperti pembuatan batik, ikan kering, keropok, tembikar dan pasuakan terjejas pada musim hujan. Hal ini demikian kerana IKS-IKS tersebut memerlukan kerja-kerja menjemur produk di bawah sinaran matahari yang terik, tetapi pada musim hujan aktiviti menjemur tidak dapat dijalankan. Tidak lupa juga, hujan lebat dan udara lembap akan mempercepatkan rebakan penyakit bawaan air seperti taun dan kolera terutamanya selepas musim hujan. Hal ini akan menjejaskan kesihatan penduduk dan meningkatkan kos kawalan penyakit berjangkit.


                                                               KESIMPULAN
Kesimpulannya, hujan merupakan sumber air yang penting untuk alam sekitar fizikal mahu pun alam sekitar manusia. Hujan dari awan berlaku sebagai hujan, hujan batu, salji dan embun beku. Jenis hujan ialah hujan perolakan, hujan bukit dan hujan perenggan. Terdapat juga kejadian hujan asid yang berpunca daripada aktiviti manusia. Oleh itu, pelbagai pihak haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam mengatasi masalah hujan asid. Antara langkah-langkahnya ialah langkah perundangan seperti menguatkuasakan undang-undang dari segi penjagaan alam sekitar. Selain itu, melalui pendidikan iaitu mengadakan kempen, ceramah atau aktiviti kemasyarakatan akan kesedaran penjagaan alam sekitar. Seterusnya, langkah pengurusan seperti proses “liming” di mana batu kapur merupakan bahan utama dan diletakkan ke dalam air tasik yang berasid untuk dineutralkan, menghadkan pelepasan gas pencemar udara ke atmosfera, memperkenalkan pemasangan “scrubbers” di cerobong asap di kilang-kilang untuk menapis gas sulfur dioksida dan penggunaan sistem denitrifikasi dan dinyahsulfur.


                                                                   RUJUKAN
Alan Strahler and Arthur Strahler. (2006). Introducing Physical Geography Fourth Edition.
United State: Lhigh Press Corporation.
Goh cheng leong. (2005). Atlas Sumber Dalam Geografi Fizikal. Kuala Lumpur: Pearson
Education South Asia Pte. Ltd.
Haji Rusly Bin Musa dan Hajah Nurashikin Abdullah. (2015). Geografi. Selangor: Local
Publications.
Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah. (2008). Pengantar Persekitara Fizikal. Tanjong Malim:
Penerbit UPSI.
Mohmadisa Hashim dan Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah. (2010). Pembangunan alam
sekitar di Malaysia.Tanjong Malim: Penerbit UPSI.
Peter Smithson, Ken Addison dan Ken Atkinson. (2008). Fundalmentals Of The Physical
Enviroment Fourth Edition. Usa and Canada: Florence Production Ltd, Stoodleigh,
Devon.
Robert E. Gabler, James F. Petersen, L. Michael Trapasso and Dorothy Sack. (2009). Physical
Geography Ninth Edition. Canada: Nelson Education. Ltd.
Tom L. McKnight and Darrel Hess. (2008). Physical Geography A Landscape Appreciation
Ninth Edition. United State: Pearson Prentice Hall.
Tom L. McKnight. (1990). Physical Geography A Landscape Appreciation Third Edition.
California: Editora Prentice-Hall Do Brasil, Ltd., Rio De Janeiro

Comments